Pages

Keratan akhbar

Tinggal di langkau teman anak belajar 


2010/07/22

KAPIT: Sama seperti ibu Iban lain di pedalaman, Nawang anak Igoh, 31, tinggal bersama anaknya di sebuah pondok yang dipanggil ‘langkau’ dalam bahasa Iban yang jauh dari anggota keluarga lain. 

Langkau yang mempunyai struktur binaan ringkas tanpa kemudahan asas itu antara beberapa pondok yang ada di lereng bukit bersebelahan Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Encheremin berdekatan jeram berbahaya Pelagus, tidak jauh dari sini.


Pada tengah hari, penghuninya kepanasan dan pada malam pula, lampu pelita digunakan.
Mereka juga perlu menadah air hujan bagi kegunaan harian, selain tiada kemudahan tandas di sini. 

Walaupun dalam keadaan serba daif, Nawang tetap tabah sejak dua tahun lalu tinggal di situ untuk menemani anak perempuannya, Liana anak Jack, 6, yang belajar di prasekolah kerana usianya masih muda untuk tinggal bersendirian jauh daripada keluarga. 

Bagaimanapun, kedaifan di langkau ini menyukarkan kehidupan ibu dan anak mereka. Paling dinantikan ialah setiap Jumaat kerana mereka akan kembali ke pangkuan keluarga. 

Nawang akan pulang ke rumah panjang Rh Puso, yang mengambil masa lima jam menaiki bot panjang atau lebih lama ketika musim kering. 
Bagaimanapun, Agam anak Sagong, 50, yang mengambil alih tempat isterinya tinggal di langkau itu, mengeluh kerana bertemu dengan isteri dan anak lelakinya berusia lima tahun di rumah panjang di Nanga Baki hanya sekali sebulan. 

Keadaan akhirnya berubah pada 13 Julai lalu, apabila sebuah ‘langkau baru’ dikenali sebagai ‘Rumah Arau’ dibuka dengan rasmi untuk menempatkan semua ibu dan anak mereka bawah satu bumbung. 

Rumah Arau membabitkan kos RM100,000 ini kelihatan seperti rumah panjang dengan ‘tanju’ (beranda terbuka) dan ‘ruai’ (ruang tamu bersama) dengan penghuni semua bilik di situ boleh beristirehat bersama. 

Bukan itu saja, penghuni kemudahan ini boleh menikmati bekalan elektrik 14 jam setiap hari, selain bilik mandi dan tandas. 

Guru Besar SK Nanga Encheremin, Jee Sin Lian, berkata ada 25 murid prasekolah berusia lima hingga enam tahun di sekolah ini yang mempunyai 158 murid. 

"Usia semuda ini menyebabkan mereka memerlukan penjagaan ibu. Jarak, risiko dan kos pengangkutan ke rumah panjang mereka antara faktor menyebabkan penjaga terpaksa tinggal dengan anak ini. 

"Kami mengenal pasti 14 ibu, nenek dan penjaga di kalangan wanita dan dua atau tiga ibu atau penjaga akan ditempatkan di setiap bilik dengan bayaran dikenakan RM2 sebulan bagi kos penyelenggaraan. 

"Ibu dan penjaga akan menguruskan makanan mereka, manakala sekolah pula menyediakan makanan bagi kanak-kanak prasekolah," katanya yang melawat Rumah Arau baru-baru ini. 

Jee berkata, Rumah Arau adalah hasil ilham bekas Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Ismail Razali selepas Allahyarham melawat beberapa sekolah pedalaman di Bahagian Kapit pada 2007. 

"Beliau sedih melihat keadaan langkau dan penghuninya, lalu mengesyorkan bantuan khas kerajaan untuk menyediakan tempat penginapan selesa bagi ibu bapa ini," katanya. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, berpegang pada konsep 1Malaysia, bersetuju menyediakan kemudahan ini menerusi 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sebuah syarikat milik penuh kerajaan yang beliau adalah Pengerusi Lembaga pemegang amanah 1MBD. 

Pengarah 1MBD, Dennis See Thuan Buan, berkata sejumlah 11 Rumah Arau dicadangkan di seluruh Sarawak dengan Rumah Arau di Nanga Encheremin sebagai projek perintis, disusuli Lusong Laku, sebuah penempatan Penan di pedalaman daerah Belaga. 

Beliau berkata, Najib akan mengumumkan beberapa lagi pembinaan Rumah Arau ketika lawatannya ke negeri ini, hari ini. 

Sementara itu, ibu dan penjaga yang berkongsi pengalaman sama dengan Nawang dan Gagong memuji kerajaan kerana menyediakan kediaman selesa kepada mereka. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment